HTML/Protected

Right Click Disable

Syurga di Dunia, Akhirat dalam Neraka

Dalam satu perjalanan, aku mencari erti kehidupan
Kulihat keindahan alam, anugerah dan ciptaan Allah kepada insan
Tapi sayang
Telah terlalu banyak percemaran yang dilakukan

Mengajar untuk mendapat nama
Beramal untuk mengejar ‘Glamour’
Menyembah Allah untuk dipertontonkan,
Supaya dipuji oleh handai taulan
Ya Allah…..inikah hambamu? Umat RasulMu diakhir zaman
Kehidupan yang digelumangi kekufuran dan keaiban
Dibutakan oleh kenikmatan dunia

Oh……
Sungguh pilu rasanya melihat kemungkaran berlaku dimana-mana
Yang halal diharamkan, yang salah tidak dibetulkan
Berpesta, bermabuk-mabukkan, maksiat berlaku tiada mengira masa dan tempat
Penipuan, pecah amanah, pembohongan sudah menjadi sebahagian dari kehidupan
Kecurangan berlaku didalam kelambu sendiri
Anak-anak yang mendurkahai orang tua mereka
Penzinaan yang semakin berleluasa
Penguguran yang tidak lagi ada angka kiraannya
Pembuangan bayi dimerata-rata
Kezaliman keatas kanak-kanak yang tidak mampu membela diri
Saudara yang tidak mahu mengaku saudara
Semua orang telah menjadi asing kepada sesama sendiri
Hanya kepentingan diri sendiri yang diutamakan

Hai insan
Al-Quran yang disimpan sudah mula berhabuk
Lidah sudah kelu membaca kalimah Allah
Mata menjadi buta dek kesibukkan dunia
Hati menjadi beku dek terlalu mengikut nafsu
Tangan kirimu sudah kerap kali melihat akan huluran dari tangan kanan mu
Angkuh sombong bongkak itulah kamu
Alpa, lalai, lupa itulah kamu
Lupa akan asal usul mu…
Innalillahi wa’inna illahi rojiun
Daripada Allah kita datang, kepada Allah jua kita akan kembali

Biar papa asal bergaya
Itulah bidalan yang sering dikata
Al-Quran dan As-Sunnah sudah dilupa
Syurga di dunia, akhirat dalam neraka

Berpeganglah pada tali Allah
Bersandarkan Al-Quran dan As-Sunnah
Lupakan sejenak akan hal dunia
Marilah bergerak menuju Syurga

Daripada Abu Hurairah ra katanya : Aku mendengar Rasullullah SAW bersabda :"Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi SAW menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah terlalu banyak seronok, terlalu mewah, menghimpun harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, saling memarahi dan hasut menghasut sehingga zalim menzalim"

Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasullullah SAW itu telah banyak kita lihat di kalangan kaum muslimin dan muslimat di hari ini.

Disana sini kita melihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan ganasnya. Dunia Islam di landa krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan menimbun harta benda sebanyak-banyaknya untuk memuaskan hawa nafsu. Maka apabila hawa nafsu diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah. Di saat itu, hilanglah nilai-nilai akhlak dan yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, hasut-menghasut dan sebagainya.

Marilah kita renungkan akan maksud hadith diatas.
Marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri.
Kerana Allah yang memberi nikmat bila-bila masa saja DIA boleh mengambilnya.

Kelebihan Bulan Muharram

Bulan Muharram adalah salah satu daripada bulan agung di dalam kalendar Islam. Beberapa peristiwa penting berlaku di dalam bulan ini. Kehadiran bulan Muharram sebaiknya kita mengambil manfaat sebaik mungkin kerana bulan ini mempunyai banyak kelebihannya.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam beribadat dalam bulan ini seperti melakukan perubahan ke arah kebaikan (berhijrah). Hijrah di sini dengan maksud berubah daripada melakukan kejahatan kepada kebaikan, daripada berakhlak buruk kepada berakhlak mulia dan daripada tidak bertaqwa kepada bertaqwa. Hijrah juga berubah dari baik kepada lebih baik, dari suka beramal kepada kuat beramal dan sebagainya sepertimana kita disaran untuk menambah ketakwaan kepada Allah dari masa ke semasa. Sambutan Ma’al Hijrah yang diadakan dengan penuh semangat dan pelbagai acara akan menjadi sia-sia dan tidak berfaedah sekiranya ia tidak disusuli dengan perubahan sikap dalam diri setiap individu muslim ke arah yang lebih baik.

Sabda Rasullullah SAW : “Orang yang melakukan hijrah yang sebenar ialah yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah.” -HR Al-Bukhari & Muslim

Antara kelebihan bulan Muharram adalah amalan puasa sunat. Bulan Muharram merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram. Berpuasa pada bulan ini pada dasarnya dijanjikan dengan pahala yang besar. Sabda Rasullullah SAW: “Puasa yang paling utama selepas Ramadhan ialah bulan Allah, Muharram dan solat yang paling utama selepas fardhu ialah solat malam.” -HR Muslim, Abu Daud, Al-Tirmizi, Baihaqi & Ahmad

Hadith ini dengan jelas telah menyatakan keutamaan berpuasa pada bulan Muharram berbanding bulan-bulan lain, selain bulan Ramadhan. Hadith ini juga menjadi hujah bahawa kita digalakkan berpuasa sunat pada bulan Muharram lebih banyak berbanding bulan-bulan lain.

Puasa bulan Muharram lebih lagi digalakkan pada hari ’Asyura iaitu pada 10 Muharram sebagaimana sabda Rasulullah SAW, yang diriwayatkan oleh Muawiyah r.a berkata : Aku mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Hari ini adalah hari ‘Asyura tidaklah wajib kamu berpuasa tetapi saya berpuasa. Maka sesiapa yang mahu ia boleh berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu ia boleh berbuka.” –HR Al-Bukhari & Muslim

Berpuasa pada hari ‘Asyura ini juga digalakkan sepertimana yang dikatakan oleh Ibnu Abbas: “Aku tidak melihat Rasulullah SAW mengutamakan hari puasa yang dilebihkan atas hari lain kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura dan bulan Ramadhan.” –HR Al-Bukhari & Muslim

Berpuasa pada hari tersebut juga akan mendapat keampunan dosa setahun yang lalu sebagaimana yang diriwayat oleh Abu Qatadah yang berkata bahawa Rasullullah SAW pernah ditanya tentang puasa ‘Asyura. Lalu Baginda menjawab : “Ia menghapuskan (dosa) setahun yang lepas.” –HR Muslim & At-Tirmizi

Terdapat sebahagian ulama’ yang berpendapat puasa pada hari ‘Asyura ini hendaklah dilakukan bersama sehari sebelumnya iaitu dinamakan juga dengan hari Tasu’a (hari ke sembilan). Ini berdasarkan riwayat Ibnu Abbas r.a : Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa, mereka berkata: “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi.” Maka Baginda bersabda: “Sekiranya aku masih hidup tahun hadapan, tentu aku akan berpuasa pada hari kesembilan.” -HR Muslim

Imam al-Nawawi (w 676) dalam menghuraikan hadith-hadith ini telah menukilkan pendapat Imam As-Syafie dan ulama’ di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi saw berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10.”


(Rujuk: Al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab Al-Siyam, (Beirut: Dar Al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254)


Justeru, marilah kita merebut peluang dikesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat.
Antara hadith-hadith lain berkenaan puasa sunat hari ‘Asyura ialah :

1.   Ibnu ‘Abbas meriwayatkan: “Apabila Rasullullah SAW datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda bersabda: “Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu”, maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa.” -HR Al-Bukhari

2.   ‘Aisyah r.a berkata: “Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari ‘Asyura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari ‘Asyura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa).” -HR Al-Bukhari & Muslim

3.   Daripada ‘Aisyah r.a berkata: “Orang-orang Quraisy di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari ‘Asyura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: “Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya.” -HR Al-Bukhari & Muslim

Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah di antara kesimpulan yang disebut oleh Al-Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqalani (w 852) dan Al-Imam Muslim (w 676) ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.


(Rujuk Fath Al-Bari, Kitab Al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura‘ 4/245)

Ibadah Dalam Pemakanan Didalam Islam

Makan dan minum adalah antara ibadah yang penting dalam Islam. Makanan yang haram akan menjejaskan hubungan seseorang dengan Allah berdasarkan sabda Nabi saw: Seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu. Dia menadahkan tangannya dan berdoa kepada Allah sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan sesuatu yang haram. Bagaimana akan diperkenankan permohonannya?” - HR Muslim, Ahmad & Tirmizi 

Sebenarnya, makanan yang haram akan merosakkan ibadah dan mendekatkan seseorang kepada azab di akhirat. Menurut Tirmizi, Baginda berkata: Setiap daging yang tumbuh daripada benda yang haram, maka api nerakalah yang lebih utama baginya. Abdullah bin Abbas pula berkata:Tidak diterima solat seseorang yang di dalam tubuh badannya terdapat benda yang haram”. Sebaliknya, sebarang usaha bagi mendapatkan rezeki yang halal akan dirahmati dan diberkati Allah. 

Dalam satu riwayat oleh Tabrani, Rasullullah SAW bersabda: Sesiapa yang berusaha untuk keluarganya daripada harta yang halal, dia berkedudukan seperti orang yang berjihad pada jalan Allah”. Rezeki yang halal akan membantu pelaksanaan ibadah dengan sempurna. Makanan yang haram akan memberi kesan buruk kepada jasad lantas melemahkannya untuk beribadah. Sahl al-Tusturi berkata: Sesiapa yang memakan makanan yang haram, akan derhakalah anggota tubuhnya. Sesiapa yang mengambil makanan yang halal, anggota badannya akan mentaatinya dalam membuat kebaikan”. 

Antara perkara yang diharamkan oleh Islam adalah arak. Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, melakukan korban untuk berhala dan menengok nasib dengan menggunakan anak panah adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Maka, tinggalkanlah ia semoga kamu Berjaya”. – QS Al-Maidah [5]:90

Daging haiwan liar juga diharamkan oleh agama berdasarkan sabda Rasullullah SAW: Nabi Muhammad melarang umat Islam memakan semua binatang buas yang bertaring dan burung yang mempunya kuku yang mencengkam”. - HR Al-Bukhari

Di samping itu, daging babi juga diharamkan sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya Allah mengharamkan kepadamu bangkai, darah dan daging babi”. - QS Al-Baqarah [2]:173 Berdasarkan ayat ini, umat Islam dilarang keras daripada memakan daging babi dan segala produk yang diperbuat daripadanya secara mutlak kecuali dalam keadaan darurat. 

Jelaslah di sini, pemakanan amat memainkan peranan utama dalam menjamin keberkesanan ibadah seseorang Muslim di samping membawa diri ke arah mencapai kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Pemakanan adalah punca dan permulaan bagi segala kelakuan kita, baik mahupun jahat. Apabila ia bermula dengan yang halal pastinya segala yang dilakukan akan kearah kebaikkan didalam lindungan, rahmat dan berkat Allah. Tapi, jika ia dari sumber yang haram, maka segalanya akan cenderung kepada kejahatan, kemaksiatan dan yang pasti kita akan hidup didalam kemurkaan dan laknat Allah. Na’uzubillahi minzaliq.

Justeru itu, kita sebagai hamba Allah perlulah sentiasa peka dan berhati-hati terhadap perihal halal dan haramnya sesuatu perkara yang kita lakukan dalam kehidupan seharian bukan sahaja dalam pemakanan, malah bidang pekerjaan, muamalat dan sebagainya. Bersesuaian dengan sabda Rasullullah SAW, “ Sesungguhnya dalam tubuh anak Adam terdapat segumpal daging. Jika ia baik maka baiklah tubuh itu seluruhnya , dan anggota-anggota yang lain akan menjadi baik pula. Ia adalah hati.”


Segala yang baik itu datangnya dari Allah SWT, dan keburukkan itu datangnya dari kita sendiri


Cermin


Dibalik cermin aku melihat engkau
Didalam engkau aku melihat aku
Asalmu cermin dari kaca, berkilau tapi rapuh
Amat mudah retak malah terhempas dan berkecai
Cukup jelas kulihat diriku didalammu
Saban hariku berdiri dihadapanmu
Berhias, bersolek memperkemaskan diri
Semakin hari kau menjadi kusam
Dek debu yang hinggap keatasmu
Dengan itu, pandanganku kedalammu menjadi samar
Lama-kelamaan aku menjadi pudar
Setelah sekian lama ku menggunakanmu tapi tidak pernah kugilap
Sudah tiba masanya untuk aku menggilapmu
Tapi….
Teramat sukar bagiku menghilangkan debu-debu yang terlekat
Setiap hari kugilap, baru sedikit yang dapatku hilangkan
Haruskah aku terus menggilapmu
Atau….
Kubiarkan sahaja engkau begitu
Terus mengumpul debu hingga hilang cahayamu
Entahlah, tapi yang nyata
Aku tidak boleh berhenti
Berhenti dari menggilapmu
Kerana engkau adalah aku

Sabda Rasullullah SAW, “ Sesungguhnya dalam tubuh anak Adam terdapat segumpal daging. Jika ia baik maka baiklah tubuh itu seluruhnya , dan anggota-anggota yang lain akan menjadi baik pula. Ia adalah hati.”

Hati kita umpama cermin, rapuh, mudah retak, mudah berkecai dan mudah dihinggap debu. Kita sering menggunakannya tapi kearah mana? Kadangkala baik, kadangkala jahat. Sukar benar bagi kita mendidik dan menjaga hati kita agar sentiasa tulus dan bersih. Setiap saat, setiap detik pasti akan ada titik hitam yang terlekat dihati kita. Umpama cermin yang sentiasa dihinggapi debu. Dari hanya berfikir hinggalah ke perbuatan, semua itu membawa kesan pada hati kita

Setiap dosa yang dilakukan menjadi titik hitam yang menutup hati kita. Semakin banyak dosa, semakin banyak titik hitam dihati kita. Lama-kelamaan, hati kita akan tertutup. Lantas, kita terus jauh dari Allah SWT, jauh dari HidayahNYA, jauh dari RahmatNYA, jauh dari BarakahNYA, yang pasti kita semakin jauh dari Redha Allah SWT. Hilanglah cahaya dihati kita. Kita menjadi angkuh, sombong, bongkak, takabur, kufur, degil, keras hati, tidak dapat menerima apa jua kebenaran yang diterangkan dan dijelaskan kepada kita. Kita menjadi buta hati.

Na’uzubillahi minzaliq…..
Astaghfirullah hal’aziim…. Astaghfirullah hal’aziim…. Astaghfirullah hal’aziim….

Marilah kita muhasabah diri, beristighfar, bermunajat kepada Allah SWT. Mohon keampunan dan petunjuk dariNYA agar tidak dicabut keimanan kita kepadaNYA. Hanya dengan berzikir dan bermunajat sahajalah yang dapat membersihkan hati kita dari titik-itik hitam. Dapat melentur, menjinakkan dan melembutkan hati kita.

Sesungguhnya kita tidak lekang dari berbuat dosa. Dosa fikiran (akal), dosa perasaan (hati), dosa penglihatan (mata), dosa pendengaran (telinga), dosa penghiduan (hidung), dosa percakapan (mulut), dosa perbuatan (tangan), dosa perjalanan (kaki) dan dosa syahwat (kemaluan). Banyak lagi dosa-dosa yang jika hendak dibentangkan tidak akan habis. Cukuplah kepada dasarnya diri kita sahaja. Dari yang kecil hingga yang besar, dari yang dalam sedar atau tidak sedar, yang sengaja atau tidak disengajakan, yang nyata atau terselindung. Ingatlah, Allah SWT itu maha mengetahui walaupun kita cuba bersembunyi tapi DIA Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Kita tidak akan boleh lari walaupun kita cuba, hanya amal dan taqwa sahaja yang dapat menyelamatkan kita.

لاَ إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّى‏ كُنْتُ مِنَ الظَّالِمينَ
“Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.” - QS. Al-Anbiya’ [21]: 87




Segala yang baik itu datangnya dari Allah SWT, dan keburukkan itu datangnya dari kita sendiri