HTML/Protected

Right Click Disable

Sunat Tarawih


Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadhan. Solat Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan solat Isya’ dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam (menjelang subuh).

Hukum mengerjakan solat Tarawih adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan sama ada secara berseorangan atau berjemaah.

Dilaksanakan sebanyak 8 atau 20 raka’at. Jumlah sebenar solat Tarawih ini tidak dihadkan kerana Rasullullah SAW tidak pernah menetapkan berapa raka’at yang perlu dilakukan. Malah Rasullullah SAW menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terus tanpa ada batasan. Dari Ibnu Umar: Rasullullah SAW bersabda: “Bersolatlah kamu dua raka’at – dua raka’at (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka bersolatlah witir satu raka’at sebagai penutup.” – HR Al-Bukhari & Muslim

Ada beberapa cara dalam mengerjakan solat Tarawih, selain melakukannya dengan sekali salam pada setiap 2 raka’at. Solat Tarawih juga boleh dilakukan 4 raka’at dengan sekali salam.

Lafaz dan niat sunat Tarawih 2 Raka’at:
أُصَلَّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi rak’ataini lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih dua raka’at kerana Allah Ta’ala.
أُصَلَّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ (اِمَامًا / مَأمُوْمًا) لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi rak’ataini (imaman / ma’mūman) lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih dua raka’at (imam / makmum) kerana Allah Ta’ala.

Lafaz dan niat sunat Tarawih 4 Raka’at:
أُصَلَّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ  اَرْبَعَ رَكَعَتٍ لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi arba’a rak’atin lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih empat raka’at kerana Allah Ta’ala.
أُصَلَّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ  اَرْبَعَ رَكَعَتٍ (اِمَامًا / مَأمُوْمًا) لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi arba’a rak’atin (imaman / ma’mūman)  lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih empat raka’at (imam / makmum) kerana Allah Ta’ala.

Berikut adalah bacaan surah selepas surah Al-Fatihah, raka’at pertama dan raka’at kedua untuk malam 1 Ramadhan hingga 15 Ramadhan dan 16 Ramadhan hingga akhir Ramadhan:

Malam 1 Ramadhan hingga 15 Ramadhan:

No.
Raka’at 1
Raka’at 2



1
At-Takatsur
Al-Ikhlas
2
‘Ashr
Al-Ikhlas
3
Al-Humazah
Al-Ikhlas
4
Al-Fil
Al-Ikhlas
5
Quraisy
Al-Ikhlas
6
Al-Ma’un
Al-Ikhlas
7
Al-Kautsar
Al-Ikhlas
8
Al-Kafirun
Al-Ikhlas
9
An-Nashr
Al-Ikhlas
10
Al-Masad (Al-Lahab)
Al-Ikhlas

Malam 15 Ramadhan hingga Akhir Ramadhan:

No.
Raka’at 1
Raka’at 2



1
Al-Qadr
At-Takatsur
2
Al-Qadr
‘Ashr
3
Al-Qadr
Al-Humazah
4
Al-Qadr
Al-Fil
5
Al-Qadr
Quraisy
6
Al-Qadr
Al-Ma’un
7
Al-Qadr
Al-Kautsar
8
Al-Qadr
Al-Kafirun
9
Al-Qadr
An-Nashr
10
Al-Qadr
Al-Masad (Al-Lahab)

Dari Abu Hurairah R.A: Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.” – HR Muslim




Fadhilat Tarawih



Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali R.A daripada Rasullullah S.A.W sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W tentang fadhilat (kelebihan) solat sunat terawih pada bulan Ramadhan
Malam 1 – Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampuanan dari Allah.
Malam 2 – Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).
Malam 3 – Berseru Malaikat dibawah ‘Arsy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.
Malam 4 – Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kita-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
Malam 5 – Allah  kurniakan baginya pahala seumpama orang yang bersolat di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil ‘Aqsa.
Malam 6 – Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-Malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam ini.
Malam 7 – Seolah-olah ia bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi ‘Alaihissalam menentang musuh ketatnya Fir’aun dan Hamman.
Malam 8 – Allah mengurniakan pahala orang solat tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihissalam.
Malam9 – Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadah hambaNYA seperti Nabi Muhammad SAW.
Malam 10 – Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan didunia dan diakhirat.
Malam 11 – Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baharu dilahirkan.
Malam 12 – Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadahnya).
Malam 13 – Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukkan.
Malam 14 – Datang Malaikay menyaksikan ia bersolat tarawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.
Malam 15 – Semua Malaikat yang menanggung  ‘Arasy, Kursi berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
Malam 16 – Allah SWT tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan kedalam syurga.
Malam 17 – Allah kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
Malam 18 – Seru Malaikat: “Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah edha kepada engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup ataupun sudah mati).
Malam 19 – Allah SWT tinggikan darjatnya didalam Syurga Firdaus.
Malam 20 – Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.
Malam 21 – Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada nur.
Malam 22 – Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam huru-hara di Padang Masyhar).
Malam 23 – Allah SWT binakan untuknya sebuah bandar didalam Syurga daripada nur.
Malam 24 – Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang bertarawih malam ini (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).
Malam 25 – Allah SWT angkatkan daripadanya siksa kubur.
Malam 26 -  Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun beribadah.
Malam 27 – Allah kurniakan orang bertarawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian SirratulMustaqim seperti kilat menyambar.
Malam 28 – Allah kurniakan kepadanya pahala 1000 darajat diakhirat.
Malam 29 – Allah kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.
Malam 30 – Allah memberi penghormatan kepada orang betarawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman: “Hai hambaKu, makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini dari dalam syurga, dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW yang bernama ‘Al-Kauthar’.”

Bagaimanapun, hadith ini adalah hadith palsu / dhoif.....malah tiada sumber asal yang muktamad bagi hadith ini sebagaimana yang disebut oleh pakar-pakar hadith. Antaranya seperti yang disebut oleh Dr. Ahmad Lutfi Fathullah dalam tesisnya (PhD), Takhrij Hadith-Hadith Durrah Al-Nasihin. Dalam Fatwa Mufti Kerajaan Brunei (1999) juga menyatakan ianya tiada dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah. Namun ada diriwayatkan seumpamanya didalam kitan-kitan Syiah, seperti kitab Bihar Al-Anwar oleh Al-Majlisi dan Wasa’il Al-Syi’ah oleh Al-Hurr Al-‘Amili. Rujukkan mereka tidak dapat dipegang oleh kita.

Maka bagi menggantikan hadith palsu tersebut, dibentangkan empat hadith lain yang sabit mengenai kelebihan solat Tarawih ini. Iaitu:

1.         Diampunkan Dosa-Dosanya Yang Telah Lalu
Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasullullah SAW pernah menggalakkan sahabatnya berqiam Ramadhan tanpa menyuruh mereka dengan kesungguhan (yang menunjukkan wajib), kemudian sabda Baginda SAW: “Barangsiapa yang berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab ( mengharapkan redha dan ganjaran Allah) akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” – HR Al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi & An-Nasa’i

2.         Kembali Sepertimana Hari Ibunya Melahirkannya
Daripada ‘Abdur Rahman Bin ‘Awf: Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dan berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, ia akan keluar daripada dosa-dosanya sepertimana hari ibunya melahirkannya.” – HR An-Nasa’i, Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Majah & Al-Baihaqi

3.         Ditulis Dari Kalangan Para Siddiqin Dan Syuhada’
Daripada ‘Amru Bin Murrah Al-Juhani RA katanya: Datang seorang lelaki kepada Rasullullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasullullah, apakah pendapat tuan kiranya saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya tuan adalah utusan Allah, dan saya solat lima waktu, menunaikan zaakat serta berpuasa bulan Ramadhan dan berqiam Ramadhan, maka dari golongan siapakah saya ini?” Jawab Baginda : “Dari kalangan pada siddiqin dan syuhada’.” – HR Al-Bazzar, Ibnu Khuzaimah & Ibnu Hibban

4.         Tulisan Baginya Pahala Seumpama Berqiamulail
Dari Abu Zar RA: Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa berqiam (Ramadhan) bersama – sama imam sehingga ia selesai, akan ditulis baginya (ganjaran) seumpama berqiamulail.” – HR At-Tirmidzi



Solat Sunat Tarawih




Latar Belakang
Tarawih menurut asal katanya ialah duduk untuk istirahat setelah mengerjakan solat empat rakaat. Setiap empat raka’at dinamakan Tarawih adalah sebagai majaz, kerana adabnya istirahat sesudahnya. Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya'. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat raka’at solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat raka’at lagi, sehingga cukup 8 ataupun dua puluh rakaat.
Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadhan. Solat Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan solat Isya’ dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.

Dalil
Rasullullah SAW sangat menggalakkan solat Tarawih. Abu Hurairah berkata: “Rasullullah SAW sangat menggalakkan sembahyang tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya.” Beliau bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau.” Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan solat.
Aisyah R.A berkata: “Rasullullah SAW mengerjakan solat Tarawih di masjid, kemudian ramai sahabat-sahabat yang mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda SAW mengerjakannya lagi di masjid, sahabat-sahabat yang datang pun semakin ramai. Pada malam ketiga sahabat-sahabat berkumpul di masjd menunggu kedatangan Rasullullah SAW tetapi beliau tidak hadir. Besok paginya Rasullullah SAW berkata kepada mereka: “Sesungguhnya aku melihat sambutan kamu. Sebenarnya aku tidak datang pada malam itu hanya kerana takut solat itu (sunat Tawarih) diwajibkan ke atas kamu.” Dan peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan.

Hukum
Hukum mengerjakan solat Tarawih adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Solat tarawih lebih afdhal dikerjakan secara berjemaah di masjid, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasullullah SAW.
Menurut Imam Al-Ghazali dalam buku Rahsia-Rahsia Solat, walaupun solat Tarawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, solat Tarawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar R.A yang mengingatkan bahawa sebahagian solat nawafil telah disyariat dalam solat berjemaah. Solat Tarawih termasuk solat Tahajjud atau shalatul lail dengan membaca Al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.

Cara Solat Tarawih
Waktu solat Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu Isya’ sehinggalah ke larut malam. Solat Tarawih ditunaikan dengan kumpulan dua rakaat, pada tiap-tiap satu kali takbiratul-ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki. Rukun sembahyang sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun solat yang lain.
Solat sunat Tarawih tidak perlu dibuat sebaik sahaja selesai menunaikan solat Isya’. Sebaliknya, pengamal boleh melewatkan menunaikan solat sunat Tarawih mengikut pilihan, kerana solat sunat tarawih boleh dibuat sehingga sebelum solat Subuh. Biasanya di masjid-masjid, solat Tarawih dimulakan selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat dua rakaat selepas solat Isya’. Solat Tarawih dilakukan dengan Imam menyaringkan bacaan seperti mana bacaan semasa solat [Subuh].
Walaupun demikian, ada beberapa cara dalam mengerjakan solat Tarawih, selain melakukannya dengan sekali salam pada setiap 2 raka’at. Solat Tarawih juga boleh dilakukan 4 raka’at dengan sekali salam

Niat solat sunat tarawih 2 Rakaat:
أُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi rak’ataini lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.
أُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ (اِمَامًا / مَأمُوْمًا ) لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi rak’ataini (imaman /ma’mūman) lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat (imam /makmum) kerana Allah Taala.
Niat solat sunat tarawih 4 Rakaat:
أُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi arba’a raka’atin lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.
أُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ (اِمَامًا / مَأمُوْمًا ) لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi arba’a raka’atin (imaman /ma’mūman) lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat (imam /makmum) kerana Allah Taala.

Bilangan Rakaat
Umat islam menunaikan solat Tarawih di bulan Ramadan
Pada zaman Rasullullah S.A.W, solat Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Rasullullah SAW juga tidak memberatkan solat ini ditunaikan di masjid kerana tidak mahukan sahabat berfikiran solat ini solat yang wajib. Pada zaman Khalifah Umar Bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan solat sebanyak itu.
Solat ini juga dibuatkan sebanyak 20 rakaat dan ditambah 3 rakaat solat witir. Pada umumnya masyarakat Islam mendirikan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat dengan ditambah dengan 3 rakaat solat witir.
Solat Tarawih boleh dibuat sebanyak 8 rakaat, sesuai dengan keterangan Aisyah R.A: “Rasullullah SAW tidak pernah mengerjakan solat sunat bulan Ramadan atau bulan lainnya, lebih dari empat rakaat, kemudian beliau kerjakan lagi empat rakaat (Jangan tanya tentang baik dan panjangnya), kemudian beliau tambah lagi tiga raka’at yakni witir.” HR Al-Bukhari & Muslim: “Rasullullah SAW mengerjakannya 11 rakaat, termasuk di dalamnya sembahyang witir.”
Dalam isu bilangan rakaat yang harus dilakukan dalam solat Tarawih, Rasullullah SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan. Malahan Rasullullah SAW menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terusan tanpa ada batasan. Imam Bukhari dan Muslim dalam Kitab Sahihnya merekodkan bahawa, dari Ibnu Umar: Rasullullah SAW bersabda: “Bersolatlah kamu dua rakaat-dua rakaat (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka bersolatlah witir satu rakaat sebagai penutup.”
Ahli Madinah yang tahu mengenai perkara ini, tidak pernah mengehadkan jumlah rakaat dalam solat Tarawih mereka. Menurut Imam Malik pada zaman beliau iaitu di penghujung kurun pertama dan awal kurun kedua Hijrah, beliau dapati ahli Madinah melaksanakan solat tarawih dengan bilangan 36 rakaat dan tiga rakaat witir.
Kenyataan ini disokong Daud bin Qois iaitu seorang tabien di dalam Fathul Bari, yang dinukil Imam Ibnu Hajar As-qolani. Beliau berkata, “Aku menjumpai orang pada zaman pemerintahan Aban Ibnu Usman dan Umar Ibnu Aziz di Madinah. Mereka melaksanakan solat Tarawih dengan 36 rakaat dan tiga rakaat witir.
Di Masjidil Haram di Makkah, solat tarawih dilakukan dengan diikuti oleh jemaah yang besar. Kebiasaannya imam membaca satu juzuk al-Quran pada setiap kali Tarawih dan menamatkan seluruh al-Quran (30 juzuk) pada malam ke-29 Ramadan.

Kelebihan Sembahyang Tarawih
Dari Abu Hurairah R.A: Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.” – HR Muslim





Amalan Dibulan Ramadhan

 

Kita digalakkan membuat solat sunat terawih pada malam hari (antara selepas isyak dan sebelum masuk waktu subuh).*
Pada 16 Ramadhan hingga 30 Ramadhan disunatkan membaca doa qunut pada solat sunat witir, dibaca selepas bangun dari rukuk pada rakaat terakhir.*
*Akan dibentangkan dalam bab Solat – Solat Sunat
Beriktikaf dimasjid pada 10 Ramadhan terakhir
Perbanyakkan sedekah
Membaca Al-Quran

Sunat membaca:
Dari 1 Ramadhan hingga 10 Ramadhan
اَاللّٰهُمَّ ارْحَمْنِيْ يَاأَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Dari 11 Ramadhan hingga 20 Ramadhan
اَاللّٰهُمَّ اغْفِرْذُنُوبِى يَارَبَّ الْعَالَمِيْنَ
Dari 21 Ramadhan hingga 30 Ramadhan
اَاللّٰهُمَّ أَعْتِقْنِى مِنَ النَّارِوَأَدْخِلْنِى جَنَّتَكَ يَارَبَّ الْعَالَمِيْنَ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Sunat diperbanyakkan membaca sebelum berbuka
يَا عَظِيْمُ يَا عَظِيْمُ. اَنْتَ إِلٰهِىْ لاَإِلٰهَ عُيْرُكَ. اِغْفِرْلَى الذَّنْبَاْلعَظِيْمَ, فَإِنَّهُ لاَ يَغْفَرُالذَّنْبَ اْلعَظِيْمَ إِلاّ اْلعَظِيْمُ.

Sunat diamalkan pada siang dan malam Ramadhan terutama pada 10 malam terakhir didalam bulan Ramadhan
أَشْهَدُأَنْ لاَإِلٰهَ إِلاَّاللهُ. أَسْتَغْفِرُاللهَ , نَسْأَلُكَ اْلجَنَّةَ وَنَعُوْذُبِكَ مِنَ النَّارِ×٣. اَللّٰهُمَ إِنَّكَ عَفُوُّكَرِيْمٌ تُحِبُّ اْلعَفْوَفَاعْفُ عَنَّا×٣ يَاكَرِيْمُ.

Tanpa sedikit pun dikurangi akan amalan harian yang sudah kita biasakan diri membuatnya, marilah kita bersama-sama memperbanyakkan amalan-amalan sunat dibulan Ramadhan ini. Semoga kita semua peroleh keampunan dari Allah SWT, yang sungguh Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. 





Apa Erti Puasa


يَآ اَيُّهَاالَّذينَ آمَنُواكُتِبَ عَلَييْكُمُ الصِّيَامُ كَمَاكُتَبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ. ۱۸۳: سورة البقرة
Yā ayyuhal lażīna āmanū kutiba ‘alaikumuṣ ṣiyāmu kamā kutiba ’alallażīna min qablikum la’allakum tattaqūn(a).
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.
QS Al-Baqarah [2]: 183

Dari Abu Hurairah: Rasullullah SAW bersabda: “Puasa itu setengah sabar.” – HR Ibnu Majah & At-Tirmizi
Dari Ibnu Mas’ud: Rasullullah SAW bersabda: “Sabar itu setengah iman.” – HR Abu Na’im

Pengertian Puasa

Menahan diri dari makan dan minum, itulah yang sering kita fahamkan. Pengertian sebenar disebalik puasa itu tidak kita selami dan dalami. Puasa bukanlah hanya dengan menahan lapar dan dahaga tapi ia adalah lebih dari itu.  Bukan juga hanya menahan diri dari terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari malah melebihi batasan waktu-waktu itu.

Dari Abu Hurairah: Rasullullah SAW bersabda: “Banyaklah orang yang berpuasa, yang tidak ada baginya daripada puasanya itu selain lapar dan dahaga.” – HR Ibnu Majah & An-Nasa-i

Apa erti sebenar puasa? Selain dari hanya menahan lapar dan dahaga, kita juga dihendaki menahan hawa nafsu….bila bercakap  tentang hawa nafsu kita hanya terfikir akan nafsu syahwat, tapi sebenar nafsu ini merangkumi semua aspek. Nafsu makan dan minum, syahwat dan amarah. Menahan diri dari  berlebih-lebihan dalam berbelanja, dalam berkata-kata dan dalam urusan-urusan keduniaan.

Rasullullah SAW bersabda: “Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha (sia-sia) dan tidak bercakap perkataan yang keji.” – HR Hakim, Ibnu Hibban & Baihaqi.

Puasa itu adalah mencegah dan meninggalkan, dan pada puasa itu sendiri ada rahsia. Tak ada padanya perbuatan yang terlihat. Sedangkan segala amalan ta’at adalah dengan dipersaksikan dan dilihat oleh orang ramai. Manakala puasa itu tiada yang melihatnya selain Allah SWT. Dari itu, puasa adalah amalan pada batin dengan kesabaran semata-mata.  

Puasa itu adalah paksaan bagi musuh Allah SWT. Sesungguhnya jalan bagi syaitan, dikutuk oleh Allah SWT, iaitu hawa nafsu. Hawa nafsu itu kuat dengan makan dan minum. Dari Shafiyah: Rasullullah SAW bersabda: “Bahawa syaitan berjalan dari anak Adam pada tempat jalan darahnya. Maka sempitkanlah tempat jalannya dengan lapar.” – HR Al-Bukhari & Muslim

Dengan ini fahamilah hawa nafsu itu akan beraja bila kita sering dalam keadaan kenyang. Maka itu didikkanlah diri agar berlapar dengan berpuasa. Mari kita hayati kisah Nabi Yahya A.S dan iblis laknatullah.

Telah diriwayatkan bahawa Yahya A.S telah melihat iblis membawa pengait dari segala macam bahan. Maka Yahya A.S pun bertanya: "Wahai iblis, pengait apakah yang kamu bawa itu?" Mendengar pertanyaan dari Yahya A.S maka iblis pun berkata: "Semua yang aku bawa ini adalah untuk kesenangan nafsu, aku akan mendapatkan anak Adam dengannya."

Lalu Yahya A.S bertanya: "Adakah bahagian aku didalamnya?" Berkata iblis: "Ya ada, kadang-kadang kamu kenyang, lalu aku membuat kamu merasa berat untuk bersolat dan berzikir". Bertanya Yahya A.S lagi: "Ada apa-apakah selain dari itu bagiku?" Berkata iblis: "Tidak". Yahya A.S berkata: "Bagi Allah wajib atasku, aku tidak akan memenuhi perutku dengan makanan-makanan untuk selama-lamanya." Mendengar kata-kata dari Yahya A.S maka iblis pun berkata: "Dan bagi Allah atasku, aku tidak akan menasihati lagi walaupun seorang muslim untuk selama-lamanya."

Dari Abu Hurairah: Rasullullah SAW bersabda: “Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka. 1. Bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih harum disisi Allah daripada bau kasturi. 2. Ikan-ikan di laut akan beristighfar untuk mereka sehingga mereka berbuka. 3.  Setiap hari Allah SWT akan menghiaskan syurgaNYA dan berfirman: “Telah hamper masanya hamba-hambaKu yang soleh akan dilepaskan daripada beban-beban dan mereka akan datang kepadaKu. 3. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat dalam bulan Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam bulan Ramadhan ini sepertimana biasa diperbuat oleh mereka pada bulan yang lain. 5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan. Rasullullah SAW ditanya: “Apakah ia Lailatulqadar?” Baginda menjawab: “Tidak! Namun seorang pekerja akan diberikan ganjaran apabila dia telah menyelesaikan kerjanya.” – HR Ahmad

Pastinya kita tertanya-tanya jika benar syaitan sudah dirantai mengapakah kita masih melihat maksiat berlaku didalam bulan Ramadhan ini? Ini adalah kerana, walaupun secara umum perbuatan maksiat adalah kesan daripada hasutan syaitan tetapi sepanajng tahun kita telah bersama dan bergaul dengan syaitan, maka kesan hasutannya yang beracun itu telah sebati dalam diri seseorang. Nafsu kita telah sebati dengan hasutan itu sehinggakan ketiadaan syaitanbuat seketika tidak terasa lagi. Bahkan hasutan-hasutan itu telah menjadi tabiat kita sendiri. Inilah sebabnya kita dapati orang yang banyak melakukan dosa-dosa diluar Ramadhan, mereka jugalah yang melakukan dosa-dosa itu apabila tiba bulan Ramadhan. Oleh kerana nafsu seseorang itu sentiasa bersamanya maka kerana itulah kesan hasutan syaitan itu berkekalan walaupun syaitan telah dirantai.

Rasullullah SAW bersabda: “Apabila seseorang itu telah melakukan satu dosa, maka satu titik hitam akan melekat pada hatinya. Jika dia benar-benar bertaubat maka titik hitam itu akan hilang. Jika tidak. titik hitam itu akan terus kekal. Apabila dia melakukan dosa untuk kali yang kedua maka titik kedua akan melekat pada hatinya dan seterusnya sehingga seluruh hatinya menjadi hitam. Kemudian perbuatan yang baik tidak lagi masuk ke dalam hatinya.” – HR Ibnu Majah.

Firman Allah:
كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ مَاكَانُوا يَكْسِبُونَ. ١٤: سورة المطففين
Kallā bal rāna ‘alā qulūbihim mā kānū yaksibūn(a)
Sekali-kali tidak (demikian), bahkan apa yang mereka usahakan itu menutup hati mereka. – QS Al-Mutaffifin[83]:14

Hawa nafsu adalah tempat bersenang-senang dan tempat menjaga diri syaitan-syaitan. Selagimana hawa nafsu itu subur, nescaya tidak akan putus-putuslah syaitan-syaitan itu pulang dan pergi. Selama mereka pulang dan pergi, maka tidak terbukalah bagi seorang hamba itu akan kebesaran Allah SWT dan adalah ia terdinding daripada menjumpaiNYA.

Dari Abu Hurairah: Rasullullah SAW bersabda: “Jikalau tidaklah syaitan-syaitan itu berkeliling diatas hati anak Adam, nescaya anak-anak Adam itu melihat kealam malakut yang tinggi.” – HR Ahmad.

Oleh itu, jadikanlah puasa itu pintu ibadah dan benteng diri dan hati kita. Jadikanlah puasa itu pembersih hati kita yang kotor disamping ibadah lain yang diwajibkan keatas kita. Daripada Sahl bin Sa’ad: Rasullullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebuah pintu yang disebut Pintu Rayyan. Semua orang yang berpuasa akan memasukinya pada hari kiamat dan tidak dibenarkan sesiapa pun selain daripada mereka memasukinya. Lalu dikatakan: “Di manakah orang yang berpuasa?” Lantas mereka pun berdiri dan tidak ada seorang pun yang dapat masuk selain orang yang berpuasa. Apabila sekalian orang berpuasa telah masuk, maka ditutuplah dan tiada seorang pun yang dapat memasukinya)– HR Al-Bukhari & Muslim.

Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar. Oleh itu kedudukannya di sisi Allah sangat mulia di mana Allah menyediakan pintu khas ke syurga yang dinamakan Ar-Rayyan. Malaikat yang menjaga pintu itu akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke syurga melalui pintu Ar-Rayyan yang dijaganya dan tidak ada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak saja.

Bukan itu sahaja, malahan doa orang yang berpuasa kerana Allah SWT, tidak ditolak Allah SWT. Dari Abu Hurairah: Rasullullah bersabda: “Ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka. 1. Seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, 2. Seorang imam (pemimpin yang adil) dan 3. Doa orang yang dizalimi.” – HR At-Tirmizi.
Rasullullah SAW bersabda: “Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka.” – HR  Ibnu Majah.