HTML/Protected

Right Click Disable

Ibadah Dalam Pemakanan Didalam Islam

Makan dan minum adalah antara ibadah yang penting dalam Islam. Makanan yang haram akan menjejaskan hubungan seseorang dengan Allah berdasarkan sabda Nabi saw: Seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu. Dia menadahkan tangannya dan berdoa kepada Allah sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan sesuatu yang haram. Bagaimana akan diperkenankan permohonannya?” - HR Muslim, Ahmad & Tirmizi 

Sebenarnya, makanan yang haram akan merosakkan ibadah dan mendekatkan seseorang kepada azab di akhirat. Menurut Tirmizi, Baginda berkata: Setiap daging yang tumbuh daripada benda yang haram, maka api nerakalah yang lebih utama baginya. Abdullah bin Abbas pula berkata:Tidak diterima solat seseorang yang di dalam tubuh badannya terdapat benda yang haram”. Sebaliknya, sebarang usaha bagi mendapatkan rezeki yang halal akan dirahmati dan diberkati Allah. 

Dalam satu riwayat oleh Tabrani, Rasullullah SAW bersabda: Sesiapa yang berusaha untuk keluarganya daripada harta yang halal, dia berkedudukan seperti orang yang berjihad pada jalan Allah”. Rezeki yang halal akan membantu pelaksanaan ibadah dengan sempurna. Makanan yang haram akan memberi kesan buruk kepada jasad lantas melemahkannya untuk beribadah. Sahl al-Tusturi berkata: Sesiapa yang memakan makanan yang haram, akan derhakalah anggota tubuhnya. Sesiapa yang mengambil makanan yang halal, anggota badannya akan mentaatinya dalam membuat kebaikan”. 

Antara perkara yang diharamkan oleh Islam adalah arak. Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, melakukan korban untuk berhala dan menengok nasib dengan menggunakan anak panah adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Maka, tinggalkanlah ia semoga kamu Berjaya”. – QS Al-Maidah [5]:90

Daging haiwan liar juga diharamkan oleh agama berdasarkan sabda Rasullullah SAW: Nabi Muhammad melarang umat Islam memakan semua binatang buas yang bertaring dan burung yang mempunya kuku yang mencengkam”. - HR Al-Bukhari

Di samping itu, daging babi juga diharamkan sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya Allah mengharamkan kepadamu bangkai, darah dan daging babi”. - QS Al-Baqarah [2]:173 Berdasarkan ayat ini, umat Islam dilarang keras daripada memakan daging babi dan segala produk yang diperbuat daripadanya secara mutlak kecuali dalam keadaan darurat. 

Jelaslah di sini, pemakanan amat memainkan peranan utama dalam menjamin keberkesanan ibadah seseorang Muslim di samping membawa diri ke arah mencapai kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Pemakanan adalah punca dan permulaan bagi segala kelakuan kita, baik mahupun jahat. Apabila ia bermula dengan yang halal pastinya segala yang dilakukan akan kearah kebaikkan didalam lindungan, rahmat dan berkat Allah. Tapi, jika ia dari sumber yang haram, maka segalanya akan cenderung kepada kejahatan, kemaksiatan dan yang pasti kita akan hidup didalam kemurkaan dan laknat Allah. Na’uzubillahi minzaliq.

Justeru itu, kita sebagai hamba Allah perlulah sentiasa peka dan berhati-hati terhadap perihal halal dan haramnya sesuatu perkara yang kita lakukan dalam kehidupan seharian bukan sahaja dalam pemakanan, malah bidang pekerjaan, muamalat dan sebagainya. Bersesuaian dengan sabda Rasullullah SAW, “ Sesungguhnya dalam tubuh anak Adam terdapat segumpal daging. Jika ia baik maka baiklah tubuh itu seluruhnya , dan anggota-anggota yang lain akan menjadi baik pula. Ia adalah hati.”


Segala yang baik itu datangnya dari Allah SWT, dan keburukkan itu datangnya dari kita sendiri


No comments:

Post a Comment