Dibalik cermin aku melihat engkau
Didalam engkau aku melihat aku
Asalmu cermin dari kaca, berkilau tapi rapuh
Amat mudah retak malah terhempas dan berkecai
Cukup jelas kulihat diriku didalammu
Saban hariku berdiri dihadapanmu
Berhias, bersolek memperkemaskan diri
Semakin hari kau menjadi kusam
Dek debu yang hinggap keatasmu
Dengan itu, pandanganku kedalammu menjadi samar
Lama-kelamaan aku menjadi pudar
Setelah sekian lama ku menggunakanmu tapi tidak pernah kugilap
Sudah tiba masanya untuk aku menggilapmu
Tapi….
Teramat sukar bagiku menghilangkan debu-debu yang terlekat
Setiap hari kugilap, baru sedikit yang dapatku hilangkan
Haruskah aku terus menggilapmu
Atau….
Kubiarkan sahaja engkau begitu
Terus mengumpul debu hingga hilang cahayamu
Entahlah, tapi yang nyata
Aku tidak boleh berhenti
Berhenti dari menggilapmu
Kerana engkau adalah aku
Sabda Rasullullah SAW, “ Sesungguhnya dalam tubuh anak Adam terdapat segumpal daging. Jika ia baik maka baiklah tubuh itu seluruhnya , dan anggota-anggota yang lain akan menjadi baik pula. Ia adalah hati.”
Hati kita umpama cermin, rapuh, mudah retak, mudah berkecai dan mudah dihinggap debu. Kita sering menggunakannya tapi kearah mana? Kadangkala baik, kadangkala jahat. Sukar benar bagi kita mendidik dan menjaga hati kita agar sentiasa tulus dan bersih. Setiap saat, setiap detik pasti akan ada titik hitam yang terlekat dihati kita. Umpama cermin yang sentiasa dihinggapi debu. Dari hanya berfikir hinggalah ke perbuatan, semua itu membawa kesan pada hati kita
Setiap dosa yang dilakukan menjadi titik hitam yang menutup hati kita. Semakin banyak dosa, semakin banyak titik hitam dihati kita. Lama-kelamaan, hati kita akan tertutup. Lantas, kita terus jauh dari Allah SWT, jauh dari HidayahNYA, jauh dari RahmatNYA, jauh dari BarakahNYA, yang pasti kita semakin jauh dari Redha Allah SWT. Hilanglah cahaya dihati kita. Kita menjadi angkuh, sombong, bongkak, takabur, kufur, degil, keras hati, tidak dapat menerima apa jua kebenaran yang diterangkan dan dijelaskan kepada kita. Kita menjadi buta hati.
Na’uzubillahi minzaliq…..
Astaghfirullah hal’aziim…. Astaghfirullah hal’aziim…. Astaghfirullah hal’aziim….
Marilah kita muhasabah diri, beristighfar, bermunajat kepada Allah SWT. Mohon keampunan dan petunjuk dariNYA agar tidak dicabut keimanan kita kepadaNYA. Hanya dengan berzikir dan bermunajat sahajalah yang dapat membersihkan hati kita dari titik-itik hitam. Dapat melentur, menjinakkan dan melembutkan hati kita.
Sesungguhnya kita tidak lekang dari berbuat dosa. Dosa fikiran (akal), dosa perasaan (hati), dosa penglihatan (mata), dosa pendengaran (telinga), dosa penghiduan (hidung), dosa percakapan (mulut), dosa perbuatan (tangan), dosa perjalanan (kaki) dan dosa syahwat (kemaluan). Banyak lagi dosa-dosa yang jika hendak dibentangkan tidak akan habis. Cukuplah kepada dasarnya diri kita sahaja. Dari yang kecil hingga yang besar, dari yang dalam sedar atau tidak sedar, yang sengaja atau tidak disengajakan, yang nyata atau terselindung. Ingatlah, Allah SWT itu maha mengetahui walaupun kita cuba bersembunyi tapi DIA Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Kita tidak akan boleh lari walaupun kita cuba , hanya amal dan taqwa sahaja yang dapat menyelamatkan kita.
لاَ إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّى كُنْتُ مِنَ الظَّالِمينَ
“Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.” - QS. Al-Anbiya’ [21]: 87
Segala yang baik itu datangnya dari Allah SWT, dan keburukkan itu datangnya dari kita sendiri
No comments:
Post a Comment