ANAS bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Telah berkata Jibril, “Wahai Tuhan, Engkau sampaikanlah maksud dan hajat hambaMu si folan…”
Maka, Allah menjawab: “Biarkan hambaKu itu, kerana Aku mencintai suaranya (yang selalu bermohon dan meratap kepadaKu).”
Hadis itu begitu dalam maknanya iaitu mengenai hubungan dan rahsia antara hamba dengan Allah. Sesiapa pun tidak berhak mengganggu, menggugat kekuatan cinta kedua-duanya. Disebabkan cinta manusia yang mengharap dan berdoa serta kerana rahmatNYA juga, DIA merindui ratapan dan rayuan si hamba. Adakah doa ini tiada didengar atau kekotoran roh yang menghijab kurniaan Allah? Tangisan dan rintihan rupanya tidak sia-sia, tetapi umpama bisikan rindu yang dikasihi Ar-Rahman. Jika kita boleh memilih dan berkuasa atas kehidupan sendiri, segala-galanya akan tercipta sesuai dengan keinginan kita.
Tetapi, kita tidak berhak atas hidup yang seperti ini. Kuasa mencipta dan memilih milik Allah. Sebagai hamba yang lemah dan amat bergantung kepada belas ihsanNYA, kita hanya boleh berusaha dan berdoa. Allah yang akan menentukan apa yang terbaik bagi diri kita.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihNya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan (dengan Dia) Dan Tuhanmu mengetahui apa yang disembunyikan (dalam) dada mereka dan apa yang mereka nyatakan.”
–QS Al-Qashaash[28]:68-69
Mengapa manusia cepat berputus asa ketika berdoa? Bukankah doa itu adalah ujian keimanan bagi mereka yang bersungguh-sungguh bermujahadah. Alangkah ruginya orang yang berhenti berdoa kerana jemu menunggu dan menunggu harapan yang belum terjawab.
Musa berkata: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah memberi kepada Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia,--Ya Tuhan kami--akibatnya mereka menyesatkan manusia dari jalan Engkau. Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat siksaan yang pedih.” –QS Yunus [10]:88
Bukankah doa Nabi Musa dan Harun pada ayat 88, Surah Yunus ini mengenai permintaan kedua-duanya supaya Fir’aun dibinasakan, akhirnya terjawab setelah 40 tahun berdoa? Kalau kita tidak sesabar Nabi Allah Musa dan Harun, eloklah teliti hadis berikut ini.
Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri;
Rasullullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang Muslim yang membaca doa di mana tiada pada doanya itu hal yang menimbulkan dosa dan memutuskan hubungan silaturahim, melainkan Allah pasti akan memberikan kepada orang itu dengan doanya salah satu dari tiga macam. Ada kalanya Allah segera memperkenankan doanya. Ada kalanya doanya itu dijadikan oleh Allah sebagai simpanan pahala di akhirat. Dan ada kalanya Allah memalingkan dan menghindarkan sebarang kejahatan (bala dan bencana) daripada orang itu sesuai dengan doanya.”
Berkata sahabat: “Kalau begitu lebih baik kita memperbanyakkan doa!”
Nabi SAW bersabda: “Allah akan memperbanyakkan pemberianNya.”
- HR Imam Ahmad & Al-Hakim, katanya semua perawinya adalah sahih
Tidak sedikit pun kerugian jika kita sering memanjatkan doa. Yang pasti, tiga janji akan Allah berikan kepada yang bersungguh-sungguh berdoa. Tetapi, perlu diingat ada faktor yang boleh menjejaskan doa itu daripada dikabulkan oleh Allah iaitu:
Terburu-buru dan berputus asa. Rasullullah SAW bersabda:
“Doa salah seorang daripada kamu akan diperkenankan oleh Allah asalkan saja seseorang itu tidak terburu-buru lalu ia mengatakan: Aku telah berdoa, tetapi doaku belum diperkenankan.” - HR Al-Bukhari & Muslim
Menggunakan rezeki daripada sumber yang haram. Nabi SAW bersabda dengan menyebut hal seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut rambutnya, berdebu badannya, mengangkat kedua-dua tangannya ke atas langit sambil berdoa:
“Ya Rabbi, Ya Rabbi, sedangkan makanannya dari harta yang haram, minumannya daripada harta yang haram, pakaiannya daripada harta yang haram dan mulutnya disuapkan makanan yang haram, maka bagaimana akan diperkenankan doanya?” - HR Muslim
Terus meminta dan berharap kepada Allah kerana Dia tidak pernah menyalahi janjiNYA. Yang perlu diingat ialah bukan kita yang memilih apa yang akan terjadi pada diri ini, tetapi Allahlah yang berhak memilihnya. Begitu juga dengan persoalan bilakah masanya Allah akan mengabulkan doa itu? Ia adalah hak Allah semata-mata kerana Dia Maha Mengetahui masa yang paling sesuai dan baik untuk diberikannNYA apa yang diminta daripadaNYA.
Sabar itu Iman
Duit bukan Teman
Dunia hanya Pinjaman
Mati tidak Berteman
No comments:
Post a Comment