HTML/Protected

Right Click Disable

Pertunangan Yang Mengikut Syari'at



Islam memberi kita maklumat yang lengkap bagaimana menyalurkan rasa kasih kita pada insan yang bergelar kekasih. Di sini beberapa langkah yang perlu diambil bagi mereka yang yakin dengan istikharah mereka (istikharah dulu)

Sebelum seorang lelaki ingin menghantar pinangan, utuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam membuat keputusan untuk menerima bakal menantunya.

Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Tuhan sebagai pokok utama.

Pertama: Adakah fardhu ‘ain si lelaki benar-benar beres sebab suamilah tunjang yang bakal untuk mengajar anak-anak dan isteri bila telah mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan perlaksanaan ibadah lelaki yang meminang itu seperti sembahyang secara individu dan secara berjemaah. Memerhati matlamat perniagaan dan perusahaan atau matlamat dalam pekerjaan lelaki berkenaan.

Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama sejahteranya rumahtangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik perkara utama yang akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan saja syarat yang akan mensejahterakan dan mengukuhkan rumahtangga.

Tidak hairanlah bila lepas kahwin kehidupan anak-anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Akhirnya anak-anak tidak taat kepada ibubapa dan isteri jadi ‘Queen Control’ kepada suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di dalam mentadbir rumahtangga menurut hukum Islam.

Ibubapa tidak boleh menolak pinangan seseorang lelaki itu semata-mata kerana darjat yang rendah. Sebaliknya, mestilah menolak pinangan seseorang lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau suka berfoya-foya, berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai harta.

Rasullullah SAW bersabda:
Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya.”

Rasullullah SAW bersabda lagi:
Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu redha terhadapnya agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi.”

Setelah membuat perbincangan, wali wanita ada hak menentukan samada mahu menerimanya atau tidak, cuma secara beradapnya eloklah ditanya kepada empunya diri terlebih dahulu.

Mana-mana wanita yang tidak pandai membuat keputusan, eloklah memberi keputusan kepada walinya dalam membuat keputusan. Sebab pilihan walinya tentu tepat kerana seseorang bapa tidak akan sanggup menzalimi anaknya. Wali yang baik akan memilih lelaki yang beragama dan berakhlak mulia.

Akan tetapi kalau si anak itu mempunyai pilihan sendiri yang agak lebih baik agamanya dari pilihan bapanya itu, bapa hendaklah menghormati hasrat anaknya itu.

Untuk mendapat keberkatan Allah, dari awal majlis peminangan lagi kita mesti jaga iaitu tidak berlakunya percampuran di antara lelaki perempuan. Keberkatan Allah ini tidak dapat hendak kita gambarkan sebab hati yang akan terasa ketenangan itu. Kesannya bukan seminggu dua tetapi sampai ke hari tua, malah sampai ke akhir hayat membawa ke syurga hendaknya

Contohnya, orang di zaman salafusaleh, rumahtangga mereka berkat sebab dari awal peminangan lagi majlisnya sudah dijaga.

Tetapi kalau dalam majlis peminangan itu, awal-awal lagi kita tidak dapat menjaga syari’at dan peradapan menurut Islam. Sampai akhir hayat pun mungkin rumahtangga itu nampak tak cantik, tak bahagia. Ada saja kusut masainya. Hati pun kadang-kadang tidak tenang untuk tinggal di rumah dan inilah yang banyak berlaku hari ini.

Sebab itulah amat penting dijaga suasana majlis ini. Biarlah bersusah-susah sedikit asalkan syari’at Allah dapat kita jaga dengan baik.

Seperkara lagi, jangan dibebani rombongan peminangan dengan berbagai-bagai hantaran yang mahal-mahal. Contohnya pakaian, makanan, buah-buahan, alat solek, beg tangan, kasut, cincin bertunang, cincin nikah dan cincin hadiah. Memadai dngan sebentuk cincin saja sudahlah.

Malah ajaran Islam tidak pernah menyusahkan umat Islam dengan cara demikian. Bila hantaran terlalu tinggi hilang keberkatan rumahtangga.

Harus diingat, yang paling layak dalam menentukan mas kahwin ini ialah diri wanita itu sendiri, kerana mas kahwin itu memang haknya. Walau bagaimanapun sekarang ini semua negeri sudah menetapkan berapa mas kahwin untuk wanita tersebut bila berkahwin, boleh kita terima, tetapi sekiranya diri wanita tersebut hendak menetapkan berapa mas kahwinnya, kita perlu hormati. Begitulah kehendak syariat.

Sebab itulah dalam soal ini, Rasullullah memaklumkan kepada umat Islam bahawa mas kahwin yang paling baik yang terendah.
Rasullullah SAW bersabda:
Bermula yang terbaik perempuan itu iaitu yang terlebih murah mas kahwinnya

Rasullullah SAW bersabda lagi:

Sebesar-besar berkat pernikahan ialah yang paling sediki mas kahwinnya.”

Rasullullah SAW bersabda lagi:
Setengah daripada berkat permpuan itu iaitu segera dipersuamikan dan segera rahimnya itu kepada beranak dan murah mas kahwinnya.

Kita patut mengetahui setengah daripada mas kahwin isteri Rasullullah saw itu hanya sepuluh dirham saja; sama nilainya dengan harga batu pengisar tepung atau sebiji tempayan atau sebiji bantal di rumahnya.

Setengah daripada para sahabat berkahwin dengan mas kahwin hanya seberat sebiji buah kurma (lebih kurang lima dirham)

Manakala Said Ibnu Musayyab mengahwinkan anak perempuannya dengan Abu Hurairah berbekalkan mas kahwin sebanyak dua dirham sahaja.

Sayidina Umar sangat melarang jika ada wali-wali perempuan yang menaikkan mas kahwin anak gadis mereka.
Katanya:
“Tiada berkahwin Rasullullah dan tiada mengahwinkan ia anaknya yang perempuan dengan isi kahwin yang lebih daripada empat ratus dirham.”

Mas kahwin bukanlah semestinya hanya dengan wang atau emas permata, ayat-ayat Al Quran juga boleh dijadikan mas kahwin. Contohnya ayat dalam surah Al Fatihah atau Al Ikhlas, tidak kiralah seberapa banyak yang dikehendaki.

Akan tetapi apa yang dinamakan sebagai hantaran tidak wujud dalam Islam. Hantaran itu merupakan adat yang sepatutnya sudah lama ditinggalkan. Ini adalah kerana hantaran itu sebenarnya akan digunakan oleh pihak keluarga wanita untuk persiapan majlis perkahwinan.

Kalau begitu halnya, hantaran tidak patutlah diminta kepada bakal menantunya. Kecuali bakal menantu hendak memberi hantaran, boleh kita terima, inilah cantiknya ajaran Islam dan ada hikmahnya.

Pada hari pertunangan, hendaklah ia menggalakkan tunangnya agar memperluatkan agamanya dan bersikap zuhud (bukan buang dunia, tetapi hati tidak terpaut kepada dunia). Hendaklah bersama-sama berazam di atas satu dasar hidup iaitu qanaah, memadai dengan apa yang telah ada tanpa rasa tamak.

Setelah bertunang, janganlah mengenakan sesuatu tempuh yang agak lama jaraknya dengan penikahan. Sebaik-baiknya dilaksanakan pernikahan itu secepat mungkin agar terhindar dari berbagai fitnah manusia.

Elakkan pertemuan yang sia-sia semasa dalam pertunangan. Islam tidak memberikan kebebasan bergaul selepas meminang kerana menjaga maruah wanita dan lelaki itu sendiri. Pertunangan yang dibuat bukanlah sebagai tiket yang membolehkan seseorang lelaki itu untuk bergaul atau berdua-duaan dengan bakal isterinya.

Lelaki hanya diberi peluang melihat dan meneliti wanita itu dalam ruang yang aman daripada fitnah sosial dan kerosakan maruah. Walau bagaimanapun, pertemuan dengan tunang diharuskan sekiranya mengikut syari’at.

Lelaki hanya dibolehkan melihat pada muka dan kedua pergelangan tangannya sahaja dan tidak melihat bahagian aurat tunang.

Perbualan hanya sekadar menanya khabar, memberi maklumat, menerima maklumat dan memberi nasihat. Perbualan yang tidak berfaedah memadu kasih, berjanji mesra, bercinta asmara dan sebagainya sangat dilarang atau haram hukumnya.

Pergaulan yang melibatkan tunang samada waktu melihat atau berbual hendaklah bersama muhrimnya. Di larang melihat tunang secara bersendiri. Rasullullah SAW telah mengingatkan kita di dalam sabdanya:

Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian maka jangnlah sekali-kali menyendiri dengan seorang perempuan yang tidak disertai oleh mahramnya, sebab nanti yang jadi orang ketiganya adalah syaitan.

Rasullullah SAW bersabda lagi:
Tidak boleh sekali-kali seorang lelaki menyendiri dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana orang ketiganya nanti adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya.

3 comments:

  1. assalamualaikum..
    terima kasih kerana berkongsi..

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum w.b.t...
    syukran di atas ilmunya...

    ReplyDelete
  3. Wa'alaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh...

    Syukran wa afwan ukhti Muslimah wa akhi Izuan

    ReplyDelete