Latar Belakang
Tarawih menurut asal katanya ialah duduk untuk istirahat setelah mengerjakan solat empat rakaat. Setiap empat raka’at dinamakan Tarawih adalah sebagai majaz, kerana adabnya istirahat sesudahnya. Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya'. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat raka’at solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat raka’at lagi, sehingga cukup 8 ataupun dua puluh rakaat.
Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadhan. Solat Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan solat Isya’ dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.
Dalil
Rasullullah SAW sangat menggalakkan solat Tarawih. Abu Hurairah berkata: “Rasullullah SAW sangat menggalakkan sembahyang tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya.” Beliau bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau.” Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan solat.
Aisyah R.A berkata: “Rasullullah SAW mengerjakan solat Tarawih di masjid, kemudian ramai sahabat-sahabat yang mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda SAW mengerjakannya lagi di masjid, sahabat-sahabat yang datang pun semakin ramai. Pada malam ketiga sahabat-sahabat berkumpul di masjd menunggu kedatangan Rasullullah SAW tetapi beliau tidak hadir. Besok paginya Rasullullah SAW berkata kepada mereka: “Sesungguhnya aku melihat sambutan kamu. Sebenarnya aku tidak datang pada malam itu hanya kerana takut solat itu (sunat Tawarih) diwajibkan ke atas kamu.” Dan peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan.
Hukum
Hukum mengerjakan solat Tarawih adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Solat tarawih lebih afdhal dikerjakan secara berjemaah di masjid, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasullullah SAW.
Menurut Imam Al-Ghazali dalam buku Rahsia-Rahsia Solat, walaupun solat Tarawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, solat Tarawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar R.A yang mengingatkan bahawa sebahagian solat nawafil telah disyariat dalam solat berjemaah. Solat Tarawih termasuk solat Tahajjud atau shalatul lail dengan membaca Al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.
Cara Solat Tarawih
Waktu solat Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu Isya’ sehinggalah ke larut malam. Solat Tarawih ditunaikan dengan kumpulan dua rakaat, pada tiap-tiap satu kali takbiratul-ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki. Rukun sembahyang sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun solat yang lain.
Solat sunat Tarawih tidak perlu dibuat sebaik sahaja selesai menunaikan solat Isya’. Sebaliknya, pengamal boleh melewatkan menunaikan solat sunat Tarawih mengikut pilihan, kerana solat sunat tarawih boleh dibuat sehingga sebelum solat Subuh. Biasanya di masjid-masjid, solat Tarawih dimulakan selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat dua rakaat selepas solat Isya’. Solat Tarawih dilakukan dengan Imam menyaringkan bacaan seperti mana bacaan semasa solat [Subuh].
Walaupun demikian, ada beberapa cara dalam mengerjakan solat Tarawih, selain melakukannya dengan sekali salam pada setiap 2 raka’at. Solat Tarawih juga boleh dilakukan 4 raka’at dengan sekali salam
Niat solat sunat tarawih 2 Rakaat:
أُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi rak’ataini lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.
أُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ (اِمَامًا / مَأمُوْمًا ) لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi rak’ataini (imaman /ma’mūman) lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat (imam /makmum) kerana Allah Taala.
Niat solat sunat tarawih 4 Rakaat:
أُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi arba’a raka’atin lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.
أُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ (اِمَامًا / مَأمُوْمًا ) لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi arba’a raka’atin (imaman /ma’mūman) lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat (imam /makmum) kerana Allah Taala.
Bilangan Rakaat
Umat islam menunaikan solat Tarawih di bulan Ramadan
Pada zaman Rasullullah S.A.W, solat Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Rasullullah SAW juga tidak memberatkan solat ini ditunaikan di masjid kerana tidak mahukan sahabat berfikiran solat ini solat yang wajib. Pada zaman Khalifah Umar Bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan solat sebanyak itu.
Solat ini juga dibuatkan sebanyak 20 rakaat dan ditambah 3 rakaat solat witir. Pada umumnya masyarakat Islam mendirikan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat dengan ditambah dengan 3 rakaat solat witir.
Solat Tarawih boleh dibuat sebanyak 8 rakaat, sesuai dengan keterangan Aisyah R.A: “Rasullullah SAW tidak pernah mengerjakan solat sunat bulan Ramadan atau bulan lainnya, lebih dari empat rakaat, kemudian beliau kerjakan lagi empat rakaat (Jangan tanya tentang baik dan panjangnya), kemudian beliau tambah lagi tiga raka’at yakni witir.” HR Al-Bukhari & Muslim: “Rasullullah SAW mengerjakannya 11 rakaat, termasuk di dalamnya sembahyang witir.”
Dalam isu bilangan rakaat yang harus dilakukan dalam solat Tarawih, Rasullullah SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan. Malahan Rasullullah SAW menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terusan tanpa ada batasan. Imam Bukhari dan Muslim dalam Kitab Sahihnya merekodkan bahawa, dari Ibnu Umar: Rasullullah SAW bersabda: “Bersolatlah kamu dua rakaat-dua rakaat (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka bersolatlah witir satu rakaat sebagai penutup.”
Ahli Madinah yang tahu mengenai perkara ini, tidak pernah mengehadkan jumlah rakaat dalam solat Tarawih mereka. Menurut Imam Malik pada zaman beliau iaitu di penghujung kurun pertama dan awal kurun kedua Hijrah, beliau dapati ahli Madinah melaksanakan solat tarawih dengan bilangan 36 rakaat dan tiga rakaat witir.
Kenyataan ini disokong Daud bin Qois iaitu seorang tabien di dalam Fathul Bari, yang dinukil Imam Ibnu Hajar As-qolani. Beliau berkata, “Aku menjumpai orang pada zaman pemerintahan Aban Ibnu Usman dan Umar Ibnu Aziz di Madinah. Mereka melaksanakan solat Tarawih dengan 36 rakaat dan tiga rakaat witir.
Di Masjidil Haram di Makkah, solat tarawih dilakukan dengan diikuti oleh jemaah yang besar. Kebiasaannya imam membaca satu juzuk al-Quran pada setiap kali Tarawih dan menamatkan seluruh al-Quran (30 juzuk) pada malam ke-29 Ramadan.
Kelebihan Sembahyang Tarawih
Dari Abu Hurairah R.A: Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.” – HR Muslim
No comments:
Post a Comment