Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadhan. Solat Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan solat Isya’ dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam (menjelang subuh).
Hukum mengerjakan solat Tarawih adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan sama ada secara berseorangan atau berjemaah.
Dilaksanakan sebanyak 8 atau 20 raka’at. Jumlah sebenar solat Tarawih ini tidak dihadkan kerana Rasullullah SAW tidak pernah menetapkan berapa raka’at yang perlu dilakukan. Malah Rasullullah SAW menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terus tanpa ada batasan. Dari Ibnu Umar: Rasullullah SAW bersabda: “Bersolatlah kamu dua raka’at – dua raka’at (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka bersolatlah witir satu raka’at sebagai penutup.” – HR Al-Bukhari & Muslim
Ada beberapa cara dalam mengerjakan solat Tarawih, selain melakukannya dengan sekali salam pada setiap 2 raka’at. Solat Tarawih juga boleh dilakukan 4 raka’at dengan sekali salam.
Lafaz dan niat sunat Tarawih 2 Raka’at:
أُصَلَّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi rak’ataini lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih dua raka’at kerana Allah Ta’ala.
أُصَلَّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ (اِمَامًا / مَأمُوْمًا) لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi rak’ataini (imaman / ma’mūman) lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih dua raka’at (imam / makmum) kerana Allah Ta’ala.
Lafaz dan niat sunat Tarawih 4 Raka’at:
أُصَلَّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ اَرْبَعَ رَكَعَتٍ لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi arba’a rak’atin lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih empat raka’at kerana Allah Ta’ala.
أُصَلَّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ اَرْبَعَ رَكَعَتٍ (اِمَامًا / مَأمُوْمًا) لِلهِ تَعَالَى.
Uṣalli sunnatat tarawīḥi arba’a rak’atin (imaman / ma’mūman) lillahi ta’ala.
Sahaja aku solat sunat tarawih empat raka’at (imam / makmum) kerana Allah Ta’ala.
Berikut adalah bacaan surah selepas surah Al-Fatihah, raka’at pertama dan raka’at kedua untuk malam 1 Ramadhan hingga 15 Ramadhan dan 16 Ramadhan hingga akhir Ramadhan:
Malam 1 Ramadhan hingga 15 Ramadhan:
No. | Raka’at 1 | Raka’at 2 |
| | |
1 | At-Takatsur | Al-Ikhlas |
2 | ‘Ashr | Al-Ikhlas |
3 | Al-Humazah | Al-Ikhlas |
4 | Al-Fil | Al-Ikhlas |
5 | Quraisy | Al-Ikhlas |
6 | Al-Ma’un | Al-Ikhlas |
7 | Al-Kautsar | Al-Ikhlas |
8 | Al-Kafirun | Al-Ikhlas |
9 | An-Nashr | Al-Ikhlas |
10 | Al-Masad (Al-Lahab) | Al-Ikhlas |
Malam 15 Ramadhan hingga Akhir Ramadhan:
No. | Raka’at 1 | Raka’at 2 |
| | |
1 | Al-Qadr | At-Takatsur |
2 | Al-Qadr | ‘Ashr |
3 | Al-Qadr | Al-Humazah |
4 | Al-Qadr | Al-Fil |
5 | Al-Qadr | Quraisy |
6 | Al-Qadr | Al-Ma’un |
7 | Al-Qadr | Al-Kautsar |
8 | Al-Qadr | Al-Kafirun |
9 | Al-Qadr | An-Nashr |
10 | Al-Qadr | Al-Masad (Al-Lahab) |
Dari Abu Hurairah R.A: Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.” – HR Muslim
No comments:
Post a Comment