يَآ اَيُّهَاالَّذينَ آمَنُواكُتِبَ عَلَييْكُمُ الصِّيَامُ كَمَاكُتَبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ. ۱۸۳: سورة البقرة
Yā ayyuhal lażīna āmanū kutiba ‘alaikumuṣ ṣiyāmu kamā kutiba ’alallażīna min qablikum la’allakum tattaqūn(a).
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.
– QS Al-Baqarah [2]: 183
Dari Abu Hurairah: Rasullullah SAW bersabda: “Puasa itu setengah sabar.” – HR Ibnu Majah & At-Tirmizi
Dari Ibnu Mas’ud: Rasullullah SAW bersabda: “Sabar itu setengah iman.” – HR Abu Na’im
Pengertian Puasa
Menahan diri dari makan dan minum, itulah yang sering kita fahamkan. Pengertian sebenar disebalik puasa itu tidak kita selami dan dalami. Puasa bukanlah hanya dengan menahan lapar dan dahaga tapi ia adalah lebih dari itu. Bukan juga hanya menahan diri dari terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari malah melebihi batasan waktu-waktu itu.
Dari Abu Hurairah: Rasullullah SAW bersabda: “Banyaklah orang yang berpuasa, yang tidak ada baginya daripada puasanya itu selain lapar dan dahaga.” – HR Ibnu Majah & An-Nasa-i
Apa erti sebenar puasa? Selain dari hanya menahan lapar dan dahaga, kita juga dihendaki menahan hawa nafsu….bila bercakap tentang hawa nafsu kita hanya terfikir akan nafsu syahwat, tapi sebenar nafsu ini merangkumi semua aspek. Nafsu makan dan minum, syahwat dan amarah. Menahan diri dari berlebih-lebihan dalam berbelanja, dalam berkata-kata dan dalam urusan-urusan keduniaan.
Rasullullah SAW bersabda: “Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha (sia-sia) dan tidak bercakap perkataan yang keji.” – HR Hakim, Ibnu Hibban & Baihaqi.
Puasa itu adalah mencegah dan meninggalkan, dan pada puasa itu sendiri ada rahsia. Tak ada padanya perbuatan yang terlihat. Sedangkan segala amalan ta’at adalah dengan dipersaksikan dan dilihat oleh orang ramai. Manakala puasa itu tiada yang melihatnya selain Allah SWT. Dari itu, puasa adalah amalan pada batin dengan kesabaran semata-mata.
Puasa itu adalah paksaan bagi musuh Allah SWT. Sesungguhnya jalan bagi syaitan, dikutuk oleh Allah SWT, iaitu hawa nafsu. Hawa nafsu itu kuat dengan makan dan minum. Dari Shafiyah: Rasullullah SAW bersabda: “Bahawa syaitan berjalan dari anak Adam pada tempat jalan darahnya. Maka sempitkanlah tempat jalannya dengan lapar.” – HR Al-Bukhari & Muslim
Dengan ini fahamilah hawa nafsu itu akan beraja bila kita sering dalam keadaan kenyang. Maka itu didikkanlah diri agar berlapar dengan berpuasa. Mari kita hayati kisah Nabi Yahya A.S dan iblis laknatullah.
Telah diriwayatkan bahawa Yahya A.S telah melihat iblis membawa pengait dari segala macam bahan. Maka Yahya A.S pun bertanya: "Wahai iblis, pengait apakah yang kamu bawa itu?" Mendengar pertanyaan dari Yahya A.S maka iblis pun berkata: "Semua yang aku bawa ini adalah untuk kesenangan nafsu, aku akan mendapatkan anak Adam dengannya."
Lalu Yahya A.S bertanya: "Adakah bahagian aku didalamnya?" Berkata iblis: "Ya ada, kadang-kadang kamu kenyang, lalu aku membuat kamu merasa berat untuk bersolat dan berzikir". Bertanya Yahya A.S lagi: "Ada apa-apakah selain dari itu bagiku?" Berkata iblis: "Tidak". Yahya A.S berkata: "Bagi Allah wajib atasku, aku tidak akan memenuhi perutku dengan makanan-makanan untuk selama-lamanya." Mendengar kata-kata dari Yahya A.S maka iblis pun berkata: "Dan bagi Allah atasku, aku tidak akan menasihati lagi walaupun seorang muslim untuk selama-lamanya."
Lalu Yahya A.S bertanya: "Adakah bahagian aku didalamnya?" Berkata iblis: "Ya ada, kadang-kadang kamu kenyang, lalu aku membuat kamu merasa berat untuk bersolat dan berzikir". Bertanya Yahya A.S lagi: "Ada apa-apakah selain dari itu bagiku?" Berkata iblis: "Tidak". Yahya A.S berkata: "Bagi Allah wajib atasku, aku tidak akan memenuhi perutku dengan makanan-makanan untuk selama-lamanya." Mendengar kata-kata dari Yahya A.S maka iblis pun berkata: "Dan bagi Allah atasku, aku tidak akan menasihati lagi walaupun seorang muslim untuk selama-lamanya."
Dari Abu Hurairah: Rasullullah SAW bersabda: “Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka. 1. Bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih harum disisi Allah daripada bau kasturi. 2. Ikan-ikan di laut akan beristighfar untuk mereka sehingga mereka berbuka. 3. Setiap hari Allah SWT akan menghiaskan syurgaNYA dan berfirman: “Telah hamper masanya hamba-hambaKu yang soleh akan dilepaskan daripada beban-beban dan mereka akan datang kepadaKu. 3. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat dalam bulan Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam bulan Ramadhan ini sepertimana biasa diperbuat oleh mereka pada bulan yang lain. 5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan. Rasullullah SAW ditanya: “Apakah ia Lailatulqadar?” Baginda menjawab: “Tidak! Namun seorang pekerja akan diberikan ganjaran apabila dia telah menyelesaikan kerjanya.” – HR Ahmad
Pastinya kita tertanya-tanya jika benar syaitan sudah dirantai mengapakah kita masih melihat maksiat berlaku didalam bulan Ramadhan ini? Ini adalah kerana, walaupun secara umum perbuatan maksiat adalah kesan daripada hasutan syaitan tetapi sepanajng tahun kita telah bersama dan bergaul dengan syaitan, maka kesan hasutannya yang beracun itu telah sebati dalam diri seseorang. Nafsu kita telah sebati dengan hasutan itu sehinggakan ketiadaan syaitanbuat seketika tidak terasa lagi. Bahkan hasutan-hasutan itu telah menjadi tabiat kita sendiri. Inilah sebabnya kita dapati orang yang banyak melakukan dosa-dosa diluar Ramadhan, mereka jugalah yang melakukan dosa-dosa itu apabila tiba bulan Ramadhan. Oleh kerana nafsu seseorang itu sentiasa bersamanya maka kerana itulah kesan hasutan syaitan itu berkekalan walaupun syaitan telah dirantai.
Rasullullah SAW bersabda: “Apabila seseorang itu telah melakukan satu dosa, maka satu titik hitam akan melekat pada hatinya. Jika dia benar-benar bertaubat maka titik hitam itu akan hilang. Jika tidak. titik hitam itu akan terus kekal. Apabila dia melakukan dosa untuk kali yang kedua maka titik kedua akan melekat pada hatinya dan seterusnya sehingga seluruh hatinya menjadi hitam. Kemudian perbuatan yang baik tidak lagi masuk ke dalam hatinya.” – HR Ibnu Majah.
Firman Allah:
كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ مَاكَانُوا يَكْسِبُونَ. ١٤: سورة المطففين
Kallā bal rāna ‘alā qulūbihim mā kānū yaksibūn(a)
Sekali-kali tidak (demikian), bahkan apa yang mereka usahakan itu menutup hati mereka. – QS Al-Mutaffifin[83]:14
Hawa nafsu adalah tempat bersenang-senang dan tempat menjaga diri syaitan-syaitan. Selagimana hawa nafsu itu subur, nescaya tidak akan putus-putuslah syaitan-syaitan itu pulang dan pergi. Selama mereka pulang dan pergi, maka tidak terbukalah bagi seorang hamba itu akan kebesaran Allah SWT dan adalah ia terdinding daripada menjumpaiNYA.
Dari Abu Hurairah: Rasullullah SAW bersabda: “Jikalau tidaklah syaitan-syaitan itu berkeliling diatas hati anak Adam, nescaya anak-anak Adam itu melihat kealam malakut yang tinggi.” – HR Ahmad.
Oleh itu, jadikanlah puasa itu pintu ibadah dan benteng diri dan hati kita. Jadikanlah puasa itu pembersih hati kita yang kotor disamping ibadah lain yang diwajibkan keatas kita. Daripada Sahl bin Sa’ad: Rasullullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebuah pintu yang disebut Pintu Rayyan. Semua orang yang berpuasa akan memasukinya pada hari kiamat dan tidak dibenarkan sesiapa pun selain daripada mereka memasukinya. Lalu dikatakan: “Di manakah orang yang berpuasa?” Lantas mereka pun berdiri dan tidak ada seorang pun yang dapat masuk selain orang yang berpuasa. Apabila sekalian orang berpuasa telah masuk, maka ditutuplah dan tiada seorang pun yang dapat memasukinya)– HR Al-Bukhari & Muslim.
Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar. Oleh itu kedudukannya di sisi Allah sangat mulia di mana Allah menyediakan pintu khas ke syurga yang dinamakan Ar-Rayyan. Malaikat yang menjaga pintu itu akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke syurga melalui pintu Ar-Rayyan yang dijaganya dan tidak ada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak saja.
Bukan itu sahaja, malahan doa orang yang berpuasa kerana Allah SWT, tidak ditolak Allah SWT. Dari Abu Hurairah: Rasullullah bersabda: “Ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka. 1. Seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, 2. Seorang imam (pemimpin yang adil) dan 3. Doa orang yang dizalimi.” – HR At-Tirmizi.
Rasullullah SAW bersabda: “Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka.” – HR Ibnu Majah.
No comments:
Post a Comment